Total Pageviews

Monday, July 6, 2015

Tenanglah Wahai Hati...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Penyayang...


Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, kerana telah memberikan kita ruang dan kesempatan untuk terus berada di bumi yang fana' ini untuk sama-sama  kita berusaha mengislahkan dan memperbaiki diri sebagai persiapan kita untuk menghadapi hari kemudian. saya akan berkongsi sedikit mutiara kata yang mana mudah-mudahan ianya menjadi satu motivasi dan peringatan bersama-sama dalam usaha kita untuk mencari keredhaan dan kasih sayang Allah SWT di muka bumi ini.

InsyaAllah, pada kali ini, marilah sama-sama kita merenungkan semula firman Allah SWT yang bermaksud :

" iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya   dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang"  ( surah Ar-Ra'd  ; 28 )



Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan. Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat ALLAH SWT sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa. Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.


KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.
 

Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat ALLAH SWT sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan ALLAH SWT menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga ALLAH SWT menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan ALLAH SWT bagi menguji hamba-Nya.

ketenangan dan ketenteraman jiwa adalah satu nikmat Allah yang sangat besar dan hanya diberikan kepada hambanya yang terpilih sahaja. ramai orang mengatakan sesuatu ketenangan itu ialah apabila kita berjaya mengumpul seberapa banyak harta, mempunyai rumah yang besar dan sebagainya, tetapi sebenarnya hakikat ketenangan itu adalah sesuatu yang dapat mendekatkan lagi diri kita kepada Allah dan dan rasa ringan untuk melaksanakan dan menyempurnakan ketaatan kepada perintahnya. 

Jiwa yang tenteram adalah jiwa yang banyak mengingati Allah tidak kira di mana juga. Hati yang hidup merupakan hati yang banyak mengingati Allah manakala hati yang mati adalah hati yang payah dan sukar untuk mengingati Allah malah banyak mengingati tentang hal keduniaan semata-mata. 

Apabila manusia berasakan ALLAH SWT begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan ALLAH SWT. Inilah ubat ketenangan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati ALLAH SWT. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati ALLAH SWT itu, tenteramlah segala hati. (Surah al-Ra'd ayat 28).

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati ALLAH SWT. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.


Sabda Nabi, "Mahukah aku beritahu kamu tentang amal yang paling bersih di sisi Tuhanmu dan paling tinggi mengangkat darjatmu, dan lebih baik bagimu dari berperang melawan musuh, kamu memenggal leher mereka dan mereka pun memenggal leher kamu?" Para Sahabat menjawab, "Khabarkan kepada kami." Rasulullah S.A.W. pun bersabda, "Zikir (ingat) kepada Allah". (HR Hadis At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Firman Allah, "Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah di masa berdiri, di masa duduk dan di masa berbaring." (An-Nisa' 103)

Firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang." (Al-Ahzab 41-42).


sekian sahaja perkongsian daripada saya, semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang dr Allah.. semoga ada manfaatnya..
#peluangsentiasaada
#ingatAllahseumbarketenanganhakiki

3 comments:

Unknown said...

Alhamdulillah , ilmu yg sangat berguna .. Terima kasih admin

Unknown said...

Assalamualaikum ...sy mohon copy gambar ye ..syukran :) -ifah mawaddah

Unknown said...

Assalamualaikum ...sy mohon copy gambar ye ..syukran :) -ifah mawaddah